
ISTANBUL: Pencerobohan tentera Israel di Semenanjung Gaza kini memasuki hari ke-700, dengan laporan terbaru daripada Pejabat Media Kerajaan Gaza menyatakan hampir keseluruhan wilayah itu musnah. Menurut agensi Anadolu, jumlah kerugian akibat kemusnahan infrastruktur dianggarkan melebihi AS$68 bilion.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan, pihak berkuasa Gaza mendedahkan bahawa lebih 90 peratus infrastruktur hancur akibat serangan berterusan, selain mendakwa wujudnya dasar genosid dan pemindahan paksa yang dijalankan secara sistematik.
Sehingga kini, lebih 73,700 penduduk dilaporkan terkorban atau masih hilang, termasuk lebih 20,000 kanak-kanak dan 12,500 wanita. Tragedi itu juga menyaksikan 2,700 keluarga dihapuskan sepenuhnya daripada rekod sivil. Antara korban adalah 1,670 petugas perubatan, 248 wartawan, 139 anggota pertahanan awam dan 173 kakitangan perbandaran.
Selain itu, lebih 162,000 penduduk mengalami kecederaan, dengan sebahagian besar mengalami kecacatan kekal seperti kudung anggota, lumpuh dan kehilangan penglihatan. Kemusnahan turut melibatkan 38 hospital, 833 masjid, 163 institusi pendidikan serta ribuan fasiliti awam lain.
Pihak Gaza juga menuduh Israel menggunakan kebuluran sebagai senjata perang, termasuk menghalang ratusan ribu trak bantuan daripada memasuki wilayah itu. Keadaan ini menyebabkan lebih 2.4 juta penduduk – separuh daripadanya kanak-kanak – berdepan krisis kebuluran yang semakin parah.
Dalam masa sama, Israel didakwa melaksanakan pemindahan besar-besaran dengan menyekat penduduk daripada kembali ke rumah mereka di Bandar Gaza dan kawasan utara.
Pejabat Media Gaza menuntut tanggungjawab sepenuhnya diletakkan ke atas Israel serta sekutunya, sambil menyeru dunia Arab, negara Islam, masyarakat antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar segera bertindak menghentikan pencerobohan, menarik balik sekatan, memulihkan hak kediaman rakyat Gaza dan mendakwa pemimpin Israel di mahkamah antarabangsa.
Serangan tanpa henti yang mencecah 700 hari pada Jumaat lalu itu dilaporkan telah meragut lebih 64,300 nyawa rakyat Palestin.