
Langkah Proaktif Membudayakan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Sekolah
MUAR, 2 OKTOBER 2025 – Program pembangunan kapasiti dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di peringkat sekolah terus diperhebat apabila seramai 38 peserta berjaya menamatkan Kursus Penyelaras Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH-Coordinator) yang berlangsung di daerah Muar.
Kursus ini merupakan anjuran Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dengan kerjasama strategik Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Muar, di bawah inisiatif Program Sekolah Angkat Madani JKKP Malaysia. Peserta terdiri daripada pegawai-pegawai daripada PPD Muar dan Pejabat Daerah Muar yang menunjukkan komitmen tinggi sepanjang sesi latihan berlangsung.
Menurut kenyataan JKKP, program ini bertujuan memperkukuh budaya keselamatan dan kesihatan di sekolah dengan melatih penyelaras yang berperanan sebagai duta KKP di peringkat akar umbi. Melalui kursus ini, para peserta didedahkan dengan pengetahuan praktikal dan kemahiran teknikal dalam mengenal pasti risiko, melaksanakan kawalan bahaya, serta memastikan pematuhan terhadap piawaian keselamatan di kawasan sekolah.
“Kejayaan penganjuran ini membuktikan kesungguhan dan iltizam bersama antara JKKP dan warga pendidik dalam menjadikan sekolah sebagai persekitaran pembelajaran yang lebih selamat, sihat dan harmoni,” menurut kenyataan itu.
JKKP turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua peserta atas kejayaan menamatkan kursus ini dengan jayanya. Diharapkan ilmu dan pendedahan yang diperoleh akan dapat diaplikasikan secara berkesan dalam amalan seharian, sekali gus memperkukuh budaya pencegahan di sektor pendidikan.
Program ini juga menjadi bukti bahawa usaha memperkasa keselamatan dan kesihatan pekerjaan bukan sahaja tertumpu di sektor perindustrian, tetapi kini diperluaskan ke sektor pendidikan melalui pendekatan kolaboratif yang inklusif dan berterusan.
JKKP menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan kursus ini, termasuk tenaga pengajar, penyelaras daerah serta peserta yang menunjukkan semangat dan dedikasi tinggi.